Assalammualaikum w.b.t..
Artikel di bawah ini aku edit dari dua sumber ini sumber 1 dan sumber 2. Semoga artikel ini bermanfaat untuk kita semua, Insyallah.. Aamiinn..
----------------------------------------
Kita biasa menangis kerana kehilangan sesuatu yang amat kita sayangi seperti kematian ahli keluarga atau kehilangan harta benda. Ada orang menangis kerana putus cinta, kerana menanggung kesakitan dan ada juga menangis bila menonton drama atau filem yang menyayat hati.
Sekiranya anda mudah menangis, Alhamdulillah itu menandakan anda mempunyai hati yang lunak dan lembut. Cuma perlu diubah menangis untuk perkara yang boleh memberi manfaat untuk kehidupan akhirat kita iaitu menangis kerana takutkan Allah. Kita sepatutnya menangis bila mengenangkan dosa-dosa yang telah kita lakukan. Dosa-dosa ini yang akan menghumbankan kita ke neraka sekiranya tidak diampunkan oleh Allah SWT.
Ambillah masa yang sesuai untuk diri bertafakkur dan bermuhasabah terhadap dosa-dosa lampau. Ikutilah dengan taubat, menyesal dan berazam tidak mengulanginya. Menangislah untuk perkara seperti ini kerana janji Rasulullah saw:
“Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka: (pertama) mata yang menangis kerana takut kepada Allah, (kedua) mata yang bermalam dalam keadaan berjaga di jalan Allah”. [Imam al-Tirmizi. dishahih-kan oleh Syaikh Al- Albaniy]
Maksud tidak akan disentuh oleh api neraka ialah tidak akan dimasukkan ke dalam neraka. Sungguh besar ganjaran yang dijanjikan kepada golongan yang sentiasa bermuhasabah diri di dunia sehingga mengalir air matanya kerana takutkan pembalasan Allah di akhirat.
Nabi saw bersabda, “Tidak akan masuk neraka seseorang yang menangis kerana takutkan Allah sampai susu [yang telah diperah] dapat masuk kembali ke tempat keluarnya.” (ImamTirmidzi ).
Rasulullah saw juga bersabda bahawa salah satu golongan yang akan dinaungi oleh Allah pada hari ketika tidak ada naungan kecuali naungan-Nya di akhirat ialah seorang yang mengingat Allah di kala sendirian sehingga kedua matanya mengalirkan air mata (menangis).” (Imam al-Bukhari dan Muslim).
Suatu malam al-Hasan al-Bashri rahimahullah terbangun dari tidurnya lalu menangis sampai-sampai tangisannya membuat segenap penghuni rumah terkejut dan terbangun. Maka mereka pun bertanya mengenai keadaan dirinya, dia menjawab, “Aku teringat akan satu dosaku, maka aku pun menangis.”
Kalau al-Hasan al-Bashri saja menangis sedemikian keras kerana satu dosa yang diperbuatnya, lalu bagaimanakah lagi dengan orang yang mengingati jumlah dosanya tidak dapat lagi dihitung dengan jari tangan dan jari kaki? Laa haula wa laa quwwata illa billah! Alangkah jauhnya akhlak kita dibandingkan dengan akhlak para salafush shalih?
Bagaimana dengan diri kita? Tidakkah dosa kita membuat kita menangis dan bertaubat kepada Rabb Yang Maha Pengampun atau kita sentiasa leka, ketawa dan alpa dibuai kehidupan dunia yang penuh dengan tipu daya?.
Semoga Allah membimbing dan memberi kekuatan kepada kita agar sentiasa menjadi hambaNya yang bermuhasabah diri, menangis dan sentiasa bertaubat terhadap dosa yang dilakukan.
No comments:
Post a Comment